PASIR MAS – Exco Kerajaan Negeri Kelantan YB Dato’ Hanifa Ahmad berkata Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) berjaya mencapai sasaran melahirkan pelajar cemerlang akademik dan sahsiah.
Katanya, PASTI Pusat menetapkan silibus Mumtaz (cemerlang) bagi sesi persekolahan PASTI tahun 2022/23 di seluruh Malaysia. 5 Celik itu difokus untuk anak-anak didik institusi itu meliputi celik sahsiah; celik Al-Quran; celik membaca; celik minda dan celik cerdas.
“Ilmu yang disemai kepada pelajar PASTI menjadikan mereka berjaya menghafaz semua bacaan dalam solat dan surah al-Mulk seawal usia 5 atau 6 tahun. Di samping cerdas dalam bersukan. Mereka adalah aset negara. Oleh itu ada pihak yang mengatakan PASTI pusat pengeluar para eksremis adalah tuduhan tidak wajar sama sekali ,” katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Prestasi PASTI Kawasan Pasir Mas, di Madrasah Nasrullah Pohon Buloh, semalam.
Beliau berkongsi pengalaman ketika menemui Pengerusi Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) Tan Sri Razali Ismail berkaitan tujuan Tan Sri Razali ke Mesir khas untuk mencari pelajar Kelantan di sana kerana potensi keilmuan dan akhlak terpuji siswazah anak Kelantan yang beliau mahukan untuk direkrut bekerja dengan syarikat yang diterajuinya.
Oleh itu Dato’ Hanifa berharap ibu bapa terus menghantar anak-anak ke PASTI dan seterusnya memilih untuk menyambung pelajaran ke Sekolah Rendah Islam (SRITI) bagi tahun 1. Kemudian, jika berminat dalam aliran sains boleh ke Maahad Tahfiz Sains kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK).
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Pasir merakamkan tahniah kepada Tokoh Pelajar Mumtaz 6 Tahun Anugerah Tokoh Murid Mumtaz 6 Tahun, Tasnim Ahmad Fakhrurrazi pelajar PASTI Al Ain Bechah dan Tokoh Murid Mumtaz 5 Tahun, Muhammad Afnan Hafiz Sanusi dari PASTI Ihsaniah Siram.
Dato’ Hanifa turut memuji komitmen guru-guru PASTI Kawasan Pasir Mas yang bertungkus lumus menyediakan persiapan majlis yang diserikan dengan irama gamelan seumpama istiadat konvokesyen peringkat universiti.
Turut hadir, Pengarah PASTI Kawasan Pasir Mas, Ustaz Mohd Azan Ab Rahman dan Pengerusi Majlis Guru PASTI Kawasan Pasir Mas Siti Razilah Daud.
Ikuti berita dalam Buletin Darulnaim.
#ViraliyatBerita9pg