oleh Norzana Razaly
KOTA BHARU – Menjelang tiga dekad pentadbiran Membangun Bersama Islam (MBI) Kerajaan Negeri Kelantan, kemantapan tadbir urus jentera pentadbiran negeri semakin diperkukuh.
Satu lagi kerjasama strategik di antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan dijalinkan bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang diketuai oleh Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Kelantan (JaPen).
Sinergi ini dipercayai dapat memperkasakan lagi sistem penyampaian dasar dan agenda Kerajaan Persekutuan dan Negeri kepada seluruh rakyat di negeri ini secara adil dan telus.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Dato’ Panglima Perang YB Dato’ Haji Mohd Nassuruddin Haji Daud, hampir 30 tahun Kerajaan Negeri Kelantan bersendirian dalam usaha untuk menyebar luas maklumat berkaitan dasar dan agenda Kerajaan Negeri Kelantan kepada rakyat.
“Akhirnya gabungan Pemuafakatan Nasional menjadi pencetus JaPen dan lain-lain jabatan dan agensi di bawah KKMM bersedia untuk membantu Kerajaan Negeri memperluaskan lagi penyebarkan maklumat berkaitan agenda dan dasar negeri bertonggakkan Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan”, ujarnya semasa berucap di Majlis Jaringan Strategik KKMM Negeri Kelantan bersama Kerajaan Negeri di Jabatan Penerangan, Wisma Persekutuan, dekat sini.
Beliau berpuas hati dengan pertemuan pagi tadi yang memperlihatkan gambaran jelas kepada pihak Kerajaan Negeri tentang bentuk kerjasama susulan yang bakal digerakkan secara kolektif.
Tambah beliau, setiap jabatan dan agensi KKMM yang hadir mempunyai kepakaran tersendiri dalam melaksanakan proses penyebaran maklumat.
“Satu Pelan Tindakan Komunikasi Bersepadu akan diwujudkan secepat mungkin di antara Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri Kelantan (UPKN) dengan Jabatan dan Agensi KKMM. Pelan ini bakal menjadi rujukan bersepadu bagi melaksanakan proses penerangan dan penyebaran maklumat yang sahih, tepat dan cepat kepada rakyat pada masa akan datang”, katanya.