KOTA BHARU – Usaha pengubahsuaian cuaca yang dilakukan syarikat penerbangan persendirian, Afjets Sdn Bhd di Kelantan melihatkan potensi penurunan hujan 70 peratus sejak empat hari lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amrul Nizar Anuar berkata, antara daerah yang mengalami hujan termasuk Kuala Krai, Gua Musang, Tanah Merah, Machang, Tumpat dan Kota Bharu.
“Mengikut pakar meteorologi kami, sejak Ahad lalu, tiupan angin di kawasan Kota Bharu menyukarkan kerja pengubahsuaian cuaca.
“Kita kenal pasti terdapat beberapa tempat di Pasir Mas, Machang, Tanah Merah, yang mana Kuala Krai dan Gua Musang paling mudah kerana ada bukit-bukau dan pergunungan di kawasan berkenaan,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, di sini.
Amrul Nizar berkata, operasi pengubahsuaian cuaca itu diteruskan sehingga awan cukup dan mendapat jumlah hujan yang memuaskan pihak Afjets.
“Kami akan teruskan sehingga cukup 10 hari sepertimana yang kami janjikan.
“Afjets dapati di Kelantan terutamanya, kelembapan udara dan faktor lain yang akan menyebabkan hujan ada di sini, cuma kita perlukan penambahbaikan lagi atau mempercepatkan lagi supaya pembentukan awan dan penurunan hujan boleh berlaku dengan segera,” katanya.
Menurutnya, cabaran paling sukar pihaknya adalah bandar Kota Bharu, disebabkan permukaan landai dan binaan bangunan.
“Bagaimanapun, arah angin dapat membantu kita menjalankan pengubahsuaian cuaca sebanyak dua kali sehari iaitu pagi dan petang. “Sebatang suar mempunyai kebolehan umpama 100 kilogram (kg) garam, jadi kita sudah bakar 60 suar (6,000kg garam),” katanya.
-sinarharian