
PASIR MAS – Pembinaan lebuh raya rakyat sejauh 10 kilometer oleh kerajaan Kelantan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2018.
Exco Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat Kelantan, Datuk Hanifa Ahmad berkata, laluan tersebut bermula dari Berangan Mek Nab ke Bukit Tiu berhampiran dengan kawasan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang.
“Alhamdulillah kerja-kerja pembinaan laluan tersebut sedang berjalan lancar dan kita berharap ia dapat disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Khatan Perdana Peringkat Dun Pengkalan Pasir di Mahaad Muhammadi.
Hampir 100 kanak-kanak yang berusia enam hingga 12 tahun menyertai majlis berkenaan.
Menurutnya, pembinaan lebuh raya tersebut merupakan salah satu impian rakyat negeri ini untuk memiliki kemudahan perjalanan yang lebih selesa serta cepat dari satu destinasi ke destinasi lain.
Katanya, lebuh raya tersebut tidak akan mengenakan sebarang bayaran kepada pengguna laluan berkenaan.- SINAR HARIAN 11/12/2016