PENCECAHAN, PENGUATKUASAAN DIPERGIAT ELAK PENINGKATAN DEMAM DENGGI DI KELANTAN

oleh Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM – Berpegang pada prinsip mencegah lebih baik daripada merawat, Kerajaan Negeri Kelantan serius menangani wabak penyakit demi meningkatkan taraf kesihatan rakyat negeri ini.

Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan, YB Dr. Izani Husin yang mempengerusikan Mesyuarat Khas Kawalan Denggi dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bilik Gerakan Mabna semalam memaklumkan bahaya demam denggi sama dengan Covid-19 yang boleh mengakibatkan kematian.

Menurut YB Dr Izani, sehingga minggu ke-28 tahun ini, pengidap demam denggi di Kelantan meningkat 195 kes kepada 2,226 kes berbanding 2,031 untuk tempoh yang sama pada tahun lepas dengan empat kematian direkodkan.

Kata beliau, pihaknya bersama Jabatan Kesihatan Kelantan (JKN) telah mengenalpasti beberapa kawasan tumpuan kes di Kota Bharu dan Bachok.

“Buat masa ini situasi denggi di Kelantan perlu ditangani dengan lebih serius dan langkah pencegahan harus diadakan dengan lebih agresif.

“Selain faktor cuaca, pertambahan kes juga berkait rapat dengan kebersihan dan pengurusan sampah serta persekitaran yang menyebabkan demam denggi mudah merebak,” ujar beliau semasa sidang media sejurus mesyuarat selesai.

Jangkaan berlaku pertambahan kes demam denggi pada cuti Aidiladha ini berpunca dari migrasi. Pergerakan perantau balik ke Kelantan dan pergi semula ke lokasi perantauan boleh menjadi punca merebaknya demam denggi.

“Pergerakan orang dan cuaca tidak boleh diubah. Tetapi tempat pembiakan Aedes boleh dihapuskan”, tegasnya.

“Selain kempen, kita juga turun padang membersihkan kawasan secara lebih berfokus untuk membasmi lokasi pembiakan nyamuk aedes dengan kerjasama Jabatan Kesihatan dan PBT telah menggerakkan gotong-royong di lokasi tertentu bagi mengatasi pertambahan kes menerusi Program Kelantanku Bersih secara berperingkat.

“Minggu lalu, program gotong-royong sudah dilakukan di Pasir Pekan dan minggu ini akan dilakukan di Pantai Cahaya Bulan (PCB)”, katanya.

Tambahnya, sepanjang tahun ini penguatkuasaan turut dipertingkatkan dengan 1,624 kompaun dan 381 notis di bawah Seksyen 8 telah dikeluarkan kepada penduduk terbabit penduduk yang mengabaikan kebersihan persekitaran kediaman.

(Visited 21 times, 3 visits today)

Add Comment