oleh Norzana Razaly
KOTA BHARU – Kerajaan Negeri Kelantan melalui Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) anak Syarikat PKINK, dengan kerjasama Encik Mustaffa Hj. Othman atau lebih mesra dipanggil Pak Mus akan menganjurkan demonstrasi ‘prime cut’ daging sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kelantan (HPPNK) 2019 pada 2 Ogos 2019, jam 3.00 petang bertempat di Pantai Bisikan Bayu, Semerak, Pasir Puteh, Kelantan.
Menurut Pengurus Besar KPKB, Encik Mohd Mukhlis Mukhtar, objektif utama demonstrasi ini adalah berkongsi kemahiran dan memberi tunjuk ajar berkenaan cara-cara potongan istimewa daging lembu dengan kaedah yang betul di samping membantu mempromosikan produk Kerajaan Negeri, pengeluaran lembu sado jenama NAIMBif melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan.
“Demonstrasi ini mensasarkan masyarakat khususnya umat Islam yang akan melakukan ibadah korban pada Hari Raya Aidil Adha. Penternak-penternak juga digalakkan hadir ke demonstrasi ini bagi mempelajari cara pemotongan daging dengan kaedah yang betul bergaya profesional. Di samping itu, pengujung boleh merasa sendiri steak yang berkualiti dan terbaik sajian Pak Mus dengan harga berpatutan”, ujar Mukhlis.
“Master Butcher yang pernah berkhidmat kepada Ratu Elizabeth dan mendiang Puteri Diana di Istana Buckingham, England selama 11 tahun selaku tamu undangan khas, iaitu Pak Mus juga akan berkongsi cara memotong daging lembu baka Charolais/Angus muda bagi menghasilkan daging lebih lembut.
“Melalui penganjuran ini, diharap akan mengembangkan lagi industri penternakan lembu NAIMBif atau lembu sado khususnya kepada belia-belia di negeri Kelantan bagi memenuhi permintaan tinggi dari luar Kelantan sekaligus menjadi pemangkin aspirasi Kerajaan Negeri Kelantan untuk bergelar Jelapang Makanan Negara dan KPKB meraikan segala bentuk kerjasama untuk merealisasikan hasrat murni ini”, tambahnya.– UPKN KELANTAN 22/7/2019