PENGARAH UPKN BERKONGSI PERSPEKTIF MELALUI TVBARU

oleh Norzana Razaly

KOTA BHARU – Gaya penyiaran terkini memanfatkan semaksimumnya platform digital selari dengan kepesatan teknologi.

Saluran TVBaru yang bersiaran melalui ‘page FB live’ bersukacita mengundang Pengarah Urusetia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri Kelantan (UPKN) Hj Zulkifli Mamat diwawancara spontan oleh moderator slot Perspektif, Muhammad Rudin Siru Junid mengenai Muafakat Nasional Masa Depan Negara.

Siaran berlangsung pada pukul 9 malam, 7 Julai semalam mendapat tontonan 14,700 memperdengarkan kupasan tuntas selama satu jam mengenai pandangan Hj Zulkifli terhadap Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang berfikiran positif bahwa Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) menampakkan perubahan dalam hala tuju perjuangan apabila meletak Islam menjadi tonggak perjuangan yang mana menjadi dokongan PAS sekian lama.

Hj Zulkifli juga berpendapat Muafakat Nasional (MN) adalah tonggak kepada penyatuan umat Islam di Malaysia sebagaimana ajaran Islam yang menganjurkan pendamaian dalam menegakkan syiarnya.

Katanya, kejayaan MN dalam setiap Pilihan Raya Kecil (PRK) membuktikan bahawa rakyat menerima gabungan ini dengan meraikannya menerusi peti undi.

“Jika dilihat semasa terbentuknya kerajaan Perikatan Nasional (PN), rakyat tidak memberontak dan menerima keputusan ini dengan hati terbuka. Kerja kerajaan adalah mendamaikan suasana negara. Jika gagal, kerajaan perlu berbuat sesuatu. Begitulah kerajaan sebelumnya yang dilihat tidak cekap dalam mengendalikan isu-isu berbangkit sebelum ini.

“Ini jauh berbeza apabila pimpinan PAS yang menjadi sebahagian anggota kabinet kerajaan persekutuan begitu komited dan tidak memerlukan masa yang lama untuk adaptasi dengan tanggungjawab yang berat ini. Ini dilahirkan daripada pengalaman PAS yang sudah berada lebih 60 tahun dalam politik Malaysia dan lebih 30 tahun memerintah Kelantan”, hurainya.

Menariknya, beliau yakin rakyat Kelantan akan terbela walaupun tiada pembangkang di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Ibarat sebuah keluarga. Bapa akan berusaha memberi keselesaan kepada ahli keluarga walaupun tiada desakan dalaman. Begitu juga Kerajaan Kelantan yang sentiasa peka dengan setiap permasalahan rakyat agar terus memberikan khidmat terbaik untuk rakyat Kelantan”, ujarnya.

(Visited 39 times, 1 visits today)

Add Comment