Penguatkuasa PBT perlu elak gejala rasuah

pesamaKOTA BHARU:  Kelantan diberi tanggungjawab menjadi tuan rumah mesyuarat agung Persatuan Pegawai-pegawai Penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (Pesama Malaysia) yang julung kali diadakan.

Ia dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Fattah Mahmood sebagai mewakili Menteri Besar.

Katanya, kerajaan Kelantan manyambut baik penubuhan persatuan terbabit yang bertujuan menjaga kebajikan dan memupuk semangat integrasi nasional dalam kalangan ahli persatuan.

Ketika berucap, beliau berkata gejala rasuah perlu diberi perhatian khusus kerana PBT merupakan agensi yang dekat dengan masyarakat.

“Kita tidak mahu anggota penguatkuasa PBT terlibat dalam gejala rasuah. Ia sering menjadi buah mulut masyarakat sekeliling,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program berkenaan semalam. Hadir sama Menteri Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Noh Omar.

Exco Kerajaan Negeri itu turut menjelaskan PBT perlu bertindak tegas terhadap perbuatan yang menyalahi undang-undang kecil berkaitan.

“Kita memahami, kadang-kala dalam menjalankan penguatkuasaan, wujud beberapa kes di mana anggota kita diancam dengan pelbagai ugutan,” jelasnya.

Mesyuarat agung itu diadakan sempena Persidangan Penguatkuasa PBT Malaysia di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).

Pesama yang dipengerusikan Fauzi Maarop merupakan Ketua Penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya ditubuhkan untuk menyatupadukan dalam kalangan ahli seluruh negara.

Pesama turut menerima sumbangan sebanyak RM30,000 daripada kementerian terbabit. – HARAKAHDAILY 8/10/2016

(Visited 8 times, 1 visits today)

Add Comment