KOTA BHARU: Cakna rakyat di Dewan Undangan Negeri (Dun) Salor yang diadakan di Kampung Surau di sini mendapat sambutan luar jangkaan penduduk tempatan.
Situasi tersebut menggambarkan ahli dan penyokong PAS bersedia mempertahankan Dun Salor pada pilihan raya umum akan datang.
Menurut Pengarah Program, Mohamad Nuri Mat Yaacob berkata, lebih 600 penduduk hadir pada program yang dirasmikan Penyelaras Dun Salor Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman.
Katanya, pelbagai aktiviti diadakan seperti kaunter aduan dan tindakan, pertunjukan silat, persembahan rebana uni dan pertunjukan biri-biri cantik.
“Kita tidak menjangkakan sambutan program ini sehingga melebihi jangkaan, lebih 600 penduduk hadir dalam suasana sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis tersebut pagi tadi yang turut dimeriahkan dengan kehadiran Isteri Menteri Besar, Datin Zabidah Abdul Hamid.
Turut hadir Pengerusi Majlis Tindakan Dun Salor, Ibrahim Isa; Ketua Penerangan PAS Kawasan, Mohamad Daud Omar; Ahli Jawatankuasa PAS, Wan Sharafi Wan Mustaffa; Setiausaha MTD Dun Salor, Hasan Ibrahim dan penghulu-penghulu Dun Salor.
Pada program itu seramai 40 anak yatim menerima bantuan persekolahan sebanyak RM100 dan beg sekolah serta lebih 80 penduduk menerima skim Takaful Kifaalah.
Pada majlis itu juga, seramai tiga pasangan diraikan dalam program az-ziwaaj dan penyerahan kunci kepada penerima dua rumah Dhu’afa.
Dun Salor yang dimenangi atas tiket PAS pada PRU lepas kini bertukar kepada PAN selepas wakil rakyatnya Datuk Husam Musa menyertai parti serpihan terbabit. – HARAKAHDAILY 10/12/2016