Perjanjian Damai : Method Dakwah Efektif

Perjanjian Damai : Method Dakwah Efektif

Allah s.w.t. berfirman dalam Surah al Anfal ayat 61-62,

“..Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui…”

“..Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dia lah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman…”

1. Ayat diatas berkisar berkenaan peristiwa Perjanjian Damai Hudaibiyyah pada tahun ke 6 Hijrah yang meredakan pertembungan antara musyrikin Mekah dan Rasulullah s.a.w. selama 9 tahun yang diterima oleh Baginda s.a.w. dengan ikatan syarat yang ketat.

2. Kisah ini bermula dengan hasrat 1400 muslimin pimpinan Rasulullah s.a.w. bergerak menuju ke Mekah untuk menunaikan umrah. Apabila Musyrikin Mekah mengetahui kedatangan Rasulullah s.a.w., maka mereka terus mengutuskan seorang wakil bernama Suhail Ibn Amr untuk berunding dengan Nabi s.a.w. bagi menyekat kemasukan pihak Muslimin.

3. Akhirnya berlakulah Perjanjian Hudaibiyyah yang dimerterai bersama Rasulullah s.a.w. dengan Musyrikin Mekah. Walaupun perjanjian ini sangat dikhuatiri oleh para sahabat yang dianggap merugikan perjuangan Islam, namun mereka tetap akur dengan keputusan Rasulullah s.a.w. Sebagaimana yang diriwayatkan berkenaan ketidakpuasan hati Saidina Umar Al Khattab.

Diriwayatkan dari Abu Wail, ia berkata: “Kami berada dalam Shiffin, ada seseorang berkata: Apakah kamu melihat orang-orang yang diajak kembali ke al-Quran. Lalu Ali menjawab: Ya”.
Sahal bin Hunaif berkata: “Berprasangkalah pada diri kalian. Sungguh saya melihat diri kami dalam perjanjian Hudaibiyah yang dilakukan oleh Nabi Saw dan orang musyrikin.
Jika kami berpendapat perang maka kami akan berperang. Kemudian Umar berkata: Bukankah kita berada diatas kebenaran dan mereka di jalan yang salah? Bukankah orang yang terbunuh diantara kami ada di surga dan yang terbunuh dari mereka ada di neraka? Nabi menjawab: “Ya”.
Umar berkata: “Dimanakah saya meletakkan kehinaan dalam agama kita? Dan kita kembali sebelum Allah memberi keputusan diantara kita”.
Nabi Saw bersabda: “Wahai Anak Khattab. Saya adalah utusan Allah. Allah tidak akan menyia-nyiakan saya selamanya”.
Umar lalu kembali dengan perasaan marah dan tidak sabar hingga ia datang kepada Abu Bakar, Umar berkata: “Wahai Abu Bakar, Bukankah kita berada diatas kebenaran dan mereka di jalan yang salah?”
Abu Bakar berkata: “Wahai Anak Khattab. Muhammad adalah utusan Allah. Allah tidak akan menyia-nyiakan Muhammad selamanya”. Maka turunlah surat al-Fath”

(HR al-Bukhari)

4. Ayat ini juga mendidik kita sebagai pejuang agama Allah s.w.t. akan betapa Islam itu sangat menginginkan perdamaian dan keamanan yang dianggap bukan satu bentuk kegagalan dan kekalahan mahupun tindakan si penakut. Akan tetapi ia adalah satu strategi berharga, peluang dan juga salah satu bentuk kemajuan yang dicapai apabila pihak lawan dan musuh cenderung untuk mengajak perdamaian.

5. Ada yang menganggap bahawa perdamaian antara Islam dan musuhnya adalah simbol kepada kekalahan dan pengunduran, ia adalah salah sama sekali. Malah perdamaian merupakan satu perintah Allah, kalau tidak mana mungkin Allah sendiri memerintahkan Nabi s.a.w. sebagaimana di dalam Al Quran.

6. Ayat di atas, iaitu “Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian..” disebut oleh para mufassirin bahawa bukan sekadar musuh mengajak secara terang untuk berdamai, bahkan sekiranya musuh menunjukkan kecenderungan atau ? yaitu cenderung maka Allah memerintahkan agar menerima kecenderungan itu dengan berdamai.

7. Allah juga memerintahkan selepas daripada inisiatif perdamaian supaya bertawakkal kepadaNya iaitu hendaklah meletakkan kebergantungan kepada Allah atas apa sahaja perancangan yang dibuat samada di pihak Islam mahupun di pihak musuh.

8. Sekiranya pihak musuh merencanakan tipu muslihat dan berniat jahat menerusi inisiatif perdamaian itu, maka ingatlah Allah s.w.t. adalah memadai dan cukup bagi kita untuk berharap dan memohon pertolongan.

9. Adalah perlu difahami bahawa dalam ayat ini Allah s.w.t. meletakkan setiap Ketaatan kepadaNya dan PertolonganNya berkait rapat dengan KeImanan kepadaNya.

10. Perjanjian Damai Hudaibiyyah walaupun dilihat dengan mata kasar menampakkan kerugian pada pihak Islam dan keuntungan kepada musuh. Namun peluang dan kejayaan dicapai tanpa difahami para peringkat awalnya. Hakikatnya langkah demi selangkah Islam dapat mengambil peluang yang ada untuk memperolehi kemenangan yang lebih besar iaitu Pembukaan Kota Mekah beberapa tahun sesudah itu.

11. Ini dinyatakan secara jelas oleh para ulamak dalam Kitab Shahih Muslim dalam Bab Perjanjian Hudaibiyyah.

“Ulama berkata: Maslahat yang timbul atas perjanjian damai ini adalah sesuatu yang jelas dari buahnya yang indah dan manfaat yang nyata, yang kemuncak kepada penaklukan kota Makkah, dan semua penduduknya memeluk Islam dan orang-orang masuk ke dalam Islam secara berbondong-bondong.

Sebab sebelum terjadinya perjanjian damai para penduduk Makkah tidak pernah bercampur dan bergaul dengan umat Islam dan tidak dilertontonkan kepada mereka perilaku-perilaku Nabi Saw yang nyata, serta tiada sebarang penjelasan kepada mereka tentang Islam secara terperinci.

Ketika terjadi perjanjian Hudaibiyah, mereka bergaul dengan umat Islam, mereka datang ke Madinah dan umat Islam berkunjung ke Mekah. Mereka berkumpul bersama keluarga, kawan dan lainnya. Mereka mendengar dari para sahabat tentang perilaku Nabi secara dekat, melihat mukjizat yang berlaku dengan jelas, dapat menyaksikan tanda kenabian, keperibadian Nabi yang menunjukkan perilaku yang indah dan mereka sering menyaksikan secara langsung.
Maka hati mereka mulai cenderung kepada Iman sehingga ramai dari kalangan mereka berpusu-pusu memeluk Islam sebelum penaklukan kota Mekah. Maka mereka telah memeluk Islam di antara berlakunya Perjanjian Damai Hudaibiyah dan Pembukaan Mekkah.

Orang yang lain yang cenderung kepada Islam juga bertambah. Ketika hari penaklukan kota Mekah, maka mereka ini telah memeluk Islam kesemuanya, disebabkan mereka telah memiliki sedikit maklumat tentang Islam.
Sementara orang Arab yang di pedalaman selain Quraisy, mereka hanya menanti kaum Quraisy masuk Islam. Dan ketika kaum Quraisy memeluk Islam, maka orang-orang Arab pedalaman turut memeluk Islam.
Allah berfirman: “Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan. Dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong”

(Syarah Muslim, Imam Nawawi 6/241)

12. PAS yang telah dan masih berada dalam lapangan siyasah berprinsipkan “Muwajahah Silmiyyah” atau jalan demokrasi sejak dari tahun sebelum merdeka iaitu 1951 lagi tetap istiqamah untuk menggunakan setiap inci peluang yang ada untuk menyampaikan mesej Islam dalam negara ini.

13. PAS memiliki pengalaman liku-liku politik pelbagai seperti menentang penjajah, pejuangan menuntut kemerdekaan, memerintah kerajaan negeri Kelantan 1959-1978, bersama dalam kerajaan campuran dengan Perikatan 1970-1978, memerintah kelantan semula tahun 1990 sehingga kini, memerintah Terengganu pada tahun 2000-2004, memerintah Kedah pada tahun 2008-2013, bersama PR memerintah Selangor 2008 sehingga kini.

14. Sewaktu PAS dalam Perikatan, PAS mengambil peluang yang ada menyampaikan mesej Islam dan melaksanakan Islam dalam lapangan autoriti yang ada. Banyak kementerian dan jabatan kerajaan berjaya diserapkan unsur Islamik dan diperbetulkan operasi kerajaan supaya patuhi Syariat. PAS dalam PR ketika mentadbir Selangor telah berjaya mengambil peluang yang dimiliki untuk membawa mesej Islam dalam lapangan yang diamanahkan. Masjid dan surau telah dihidupkan fungsinya yang sebenar apabila dimakmurkan dengan majlis ilmu serta pengajian. Sehingga Selangor berjaya menjadi hub majlis ilmu dan kuliah-kuliah agama di negara ini.

15. PAS sewaktu permulaan langkah dalam lapangan demokrasi berhadapan tohmahan dan kutukan masyarakat berfikiran sekular bahawa tiada politik dalam Islam. Sehingga terdapat usaha untuk membuang perkataan Islam dari PAS. Begitu juga apabila PAS mengemukakan cadangan Enakmen Jenayah Syariah Islam atau Hudud di negeri Kelantan, PAS menghadapi pelbagai bentuk kesukaran seperti kekeliruan yang sengaja ditimbulkan kepada masyarakat dengan dakwaan hudud akan dikenakan ke atas orang bukan Islam. Ditambah lagi dengan usaha kerajaan persekutuan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohammad yang membuat pelbagai kritikan dan ugutan untuk menggagalkan perlaksanaan enakmen ini. PAS berdepan dengan kejahilan masyarakat termasuk bersaing dengan serangan pemikiran yang merosakkan aqidah ummah seperti sekularisme, liberalisme, nasionalisme, tuduhan dikaitkan dengan pengganas, anarkin ortodoks, ektrimis, fundamentalis dan lain-lain lagi.

16. PAS menghadapi kepelbagaian kesukaran tersebut dengan sabar dan istiqamah melalui penghayatan dan pengiktibaran yang dicungkil daripada Sunnah dan Sirah Nabi s.a.w. sebagai poin dan hujjah dalam setiap langkah yang diambil oleh PAS seperti kerjasama politik (Taawun Siyasi), persefahaman politik (Tahaluf Siyasi) dan kerjasama kerajaan dengan kerajaan (G to G).

17. Melalui pendekatan yang diambil oleh PAS ini, maka sedikit demi sedikit halangan, kekeliruan, kejahilan malah penentangan kepada perjuangan Islam dan PAS secara khususnya semakin berkurangan. Malah, musuu yang dulu kuat menentang PAS kini menampakan mulai kendur dan cenderung menunjukkan minat terhadap perjuangan Islam.
18. PAS sebagai parti dan gerakan Islam yang tidak mengenepikan aspek dakwah selain politik, menggunakan pelbagai method yang ada di hadapannya untuk menyebarluaskan Islam, memahamkan masyarakat serta mengemukakan hujjah untuk mengembalikan mereka semula kepada kesyumulan Islam.

19. Peluang perdamaian yang dinikmati oleh PAS adalah satu kelebihan yang sangat penting dan esential. Ini adalah kerana perdamaian itu dituntut oleh fitrah setiap manusia yang sihat, membawa keharmonian dalam persekitaran dan bersifat manusiawi (berperikemanusiaan). Bahkan dengan wujudnya perdamaian, faedah yang diperolehi akan mewujudkan suasana keramahan, kelembutan, persaudaraan dan keadilan.

20. PAS pastinya tidak akan membiarkan peluang sebegini berlalu sahaja. PAS sudah tentu akan memanfaatkan kelebihan ini dengan menasihat dan menegur secara lebih efektif sebagai satu bentuk dakwah kepada pihak lawannya agar dilihat bahawa PAS benar-benar mahukan kebaikan kepada semua pihak dan bukannya semata-mata inginkan kuasa.

21. Beberapa cadangan PAS mutakhir ini adalah manifestasi daripada suasana perdamaian dengan pelbagai pihak demi memastikan kepentingan Islam dan rakyat terbanyak menjadi agenda paling utama dan diberikan perhatian. Sebagai contoh, apabila kerajaan persekutuan menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan bantuan dalam usaha memartabatkan Undang-Undang Syariah Kelantan, maka PAS langsung menerima peluang ini. Begitu juga PAS ingin berperanan dalam memberi khidmat nasihat dan bantuan kepada kerajaan dalam isu-isu berkait soal pembentangan bajet serta turut memberikan idea penyelesaian kepada masalah ekonomi negara.

22. Semua ini adalah sebahagian daripada kelebihan suasana perdamaian yang wujud antara PAS dengan musuh politiknya yang bakal menyumbang kepada kemenangan Islam dan perjuangan PAS.

23. Ingatlah, kejayaan PAS bukan dilihat sekadar memenangi pilihanraya semata-mata sahaja, atau apabila berjaya memerintah negara, ataupun dengan memegang jawatan dan kuasa kerajaan. Akan tetapi kejayaan PAS yang sebenar adalah apabila mesej Islam dapat disampaikan dan ditegakkan serta diterapkan dalam kehidupan masyarakat dan negara.

Semoga langkah bijak PAS menerusi pimpinan Sunnah Kenabian ini, diberikan keberkatan Allah s.w.t. dan kemenangan kepada perjuangan Islam.

Wallahua’alam

Catatan

Ustaz Muhammad Najhan Halim
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Selangor
Pengarah Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat.
24 November 2015 / 11 Safar 1437h.

(Visited 5 times, 1 visits today)

Add Comment