oleh Norzana Razaly
KERAJAAN Negeri Kelantan melalui Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KekWa) amat peka tentang status golongan bayi sebagai aset terpenting kepada ibu bapa, masyarakat, negeri dan negara.
Bayi selaku pewaris yang bakal meneraju negeri dan negara sekali gus pelapis kepimpinan dunia pada masa hadapan ini perlu dicurahkan sepenuh kasih sayang, perhatian, pendidikan, keselamatan dan pembelaan. Bagaikan sehelai kain putih, zuriat dicorakkan oleh kedua ibu bapanya mengikut acuan dan reka bentuk masing-masing. Namun apakah modul yang digunakan untuk mencorak akhlak anak-anak?
Merujuk hadis riwayat Abu Musa al-Asy’ari Radhiyallahu ‘anhu: “Lahir seorang anakku maka aku membawanya ke hadapan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam maka beliau memberinya nama Ibrahim. Beliau mentahniknya dengan kurma dan mendoakan barakah untuknya.”
Oleh itu, Unit Pembangunan Keluarga U-Kekwa tampil dengan Program Tahnik Perdana Peringkat Negeri Kelantan untuk memberi kesedaran kepada rakyat tentang amalan sunat yang diamalkan sejak zaman Rasulullah hingga kini. Ia sebahagian daripada ekspresi kesyukuran terhadap kelahiran seorang anak, legasi penyambung zuriat keluarga. Kesyukuran tersebut dilakukan dengan beberapa amalan antaranya tahnik, bercukur, aqiqah, meletakkan nama kepada bayi tersebut.
Menurut Pengarah U-Kekwa, Puan Ilvira Mohd Dasuki, 47, Program Tahnik Perdana ialah kemuncak kepada Program Skim Cakna Aulad yang sudah setahun dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan bagi meraikan golongan ibu bapa yang baru sahaja menimang cahaya mata dan turut bergembira dengan setiap kelahiran bayi di negeri Kelantan.
“Program ini dianjurkan sebagai memenuhi salah satu pilar di dalam Dasar Kanak-kanak Fitrah dan tanda keprihatinan Kerajaan Negeri Kelantan terhadap golongan bayi selaku pelapis penting terhadap masa depan negeri Kelantan. Ia juga memastikan setiap anak Kelantan mendapat manfaat daripada Kerajaan Negeri Kelantan, tidak terkecuali golongan bayi”, ujarnya.
Seramai 60 orang bayi dipilih bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menerima bantuan yang diberikan secara one-off sebanyak RM50.00 dan kit kelahiran untuk setiap bayi.
“Ibu bapa yang bakal mendapat zuriat boleh mengambil borang di pejabat DUN. Borang itu akan diserahkan kembali bersama bukti kelahiran bayi (salinan sijil kelahiran/ salinan resit bayaran hospital/ salinan kad bayi atau lain-lain dokumen). Bantuan ini disampaikan oleh YB ADUN masing-masing dalam program Interaktif Ibu bapa: Super Mama, Super Papa yang diadakan di DUN”, hurai Ilvira.
Berhubung dengan Program Tahnik Perdana pula, Ilvira menjelaskan tujuan utamanya untuk memberi kesedaran kepada ibubapa bahawa tahnik bayi baharu lahir adalah sunnah bagi memperoleh kebajikan dan keberkatan.
YAB Bentara Kanan Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakub dijangka bakal merasmikan program tersebut manakala YB Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man akan berkongsi buah fikiran bertajuk Penyejuk Mata Ibu Ayah melalui slot keibubapaan.
Rakyat Kelantan dipersilakan hadir bagi memeriahkan lagi Program Tahnik Perdana yang akan berlangsung pada Jumaat, 15 November 2019, jam 8.00 pagi di Dewan Grandara, Kota Bharu, Kelantan kerana kumpulan nasyid The Naqra’ dari KIAS bersedia untuk menghiburkan hadirin berserta pelbagai hadiah menarik seperti stroller, car seat dan hamper menanti individu bertuah. UPKN KELANTAN 6/11/2019
Sumber: https://www.facebook.com/upknkelantan/posts/2506998806201138