LOJING: Pembangunan pertanian komersial di tanah tinggi Lojing masih terkawal biar pun pelbagai tuduhan tanpa asas dilempar pihak tertentu.
Sebahagian besar projek pertanian yang dijalankan di sini berdasar kepada kelulusan penilaian alam sekitar (EIA).
Antaranya projek pertanian di kawasan lebih 500 ekar di Pos Jedip terpaksa mengambil masa empat tahun untuk mendapat laporan EIA daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi lain yang berkaitan.
Pegawai Korporat Yayasan Amanah Tok Kenali (YTK) Wan Abu Hasan Wan Ibrahim (Gambar kanan) berkata kerja kerja tanah lambat dimulakan kerana terpaksa menunggu dalam tempoh lama untuk mendapat laporan EIA.
Katanya peraturan ketat agensi berkaitan dan jabatan lain perlu dipatuhi bagi memastikan pembangunan di Lojing terkawal.
“Sebab itulah projek pertanian di kawasan milik YTK di sini mengambil masa untuk dimulakan biarpun perjanjian dengan syarikat pemaju sudah lama dilakukan,” katanya selepas melawat projek berkenaan di sini semalam.
Projek berkenaan diusahakan syarikat Golden Julian Sdn Bhd di kawasan seluas kira kira 400 ekar.
Bagaimanapun kawasan yang boleh diusahakan dengan pertanian hanya seluas 200 ekar disebabkan kecerunan tanah.
Ketika tinjauan dilakukan, kerja-kerja meratakan tanah sedang giat dijalankan. Selain itu kerja memasang struktur pelindung hujan juga sedang dilakukan.
Malah sehingga sekarang lebih 2 ekar kawasan itu sudah ditanam pokok lada benggala (capsicum). Penanaman dimulakan April lepas.
Wakil syarikat terbabit Kamarudin Yunus (Gambar kiri) berkata kerja-kerja tanah yang dijalankan di bawah pemantauan JAS dan agensi lain.
Katanya pegawai JAS sering datang meninjau kerja-kerja yang dilakukan bagi memastikan peraturan dipatuhi.
Katanya pihak syarikat perlu memastikan ada zon penampan untuk menapis air ketika hujan bagi mengelak kelodak turun ke anak sungai.
“Banyak zon itu disediakan. Selut yang dibawa hujan tidak turun ke anak sungai kerana disekat kolam takungan yang disediakan.
“Pokok-pokok hutan masih dikekal di zon penampan sebagai benteng mengelak hakisan berlaku,” katanya ditemui di sini.
Syarikat terbabit juga memasang plastik di lereng bukit yang disodok bagi mengelak hakisan. Selain itu tanaman kekacang penutup bumi juga akan ditanam. – HARAKAHDAILY 20/10/2016