Majlis penyerahan kunci rumah mampu milik berharga RM65,000.00

TANAH MERAH – Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) mengadakan majlis penyerahan kunci kepada pemilik Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK) Taman Wadi Iman di Mukim Pasir Genda sebagai satu usaha menyediakan kediaman kepada golongan berpendapatan rendah.

Penyerahan kunci disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, YB Dr Izani Husin pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik Negeri Kelantan Taman Wadi Iman, Pasir Genda kepada 10 orang pemilik yang mewakili pemilik lain dalam acara ringkas bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini.

Projek RMMK ini adalah yang keempat dibangunkan oleh PKINK membabitkan sebanyak 64 buah rumah dengan keluasan berukuran 750 meter persegi.

Projek yang dibangunkan di atas tanah seluas 4.38 ekar ini mempunyai 64 buah unit rumah berharga RM65,000.00 seunit lengkap dengan kemudahan surau, dewan serbaguna dan kiosk perniagaan, memberi ruang kepada rakyat berpendapatan sederhana di negeri Kelantan memiliki rumah sendiri.

Pembangunan projek sebegini dapat memberi peluang kepada rakyat Kelantan untuk memiliki rumah dengan kemudahan persekitaran yang lengkap teratur.

Dalam ucapannya YB Dr Izani berkata, bagi memudahkan kelulusan permohonan pinjaman perumahan melalui bank dokumen pendapatan pemohon adalah penting dan hendaklah sentiasa dikemas kini.

Beliau turut mengingatkan bahawa menjadi tanggungjawab setiap penghuni untuk menjaga kebersihan dan keceriaan di sekitar kawasan perumahan.

Turut hadir, Timbalan Speaker, YB Dato’ Abdul Fattah Mahmood yang juga ADUN Bukit Panau, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Perancangan dan Pembangunan) PKINK, Mohamad Nasriff  Daud, Ketua Penolong Setiausaha (Perumahan SUK), Mohd Kamarudin Omar dan Pengurus Kanan Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan PKINK, Ahmad Nazri Ismail.

(Visited 41 times, 1 visits today)

Add Comment