KUALA LUMPUR – Berhubung dengan status Pusat Pemindahan Kekal banjir di Kelantan, Kerajaan Pusat bersama Kerajaan Negeri kini masih di peringkat perancangan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memandangkan keperluan dan kekerapan banjir yang dialami.
Di Tumpat khususnya, beberapa kawasan telah dikenal pasti melalui cadangan pihak Kerajaan Negeri Kelantan iaitu di Kelaboran dan tiga lagi sekolah yang terpilih.
Antara sekolah yang dipilih untuk pembinaan tambahan dewan serbaguna itu ialah Sekolah kebangsaan Pengkalan Kubor 2, Sekolah Kebangsaan Sri Tumpat 2 Sekolah Menengah Kebangsaan Wakaf Bharu.
Demikian jawapan Timbalan Perdana Menteri (TPM) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada pertanyaan lisan Ahli Parlimen Tumpat YB Dato’ Mumtaz Md Nawi di Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Tahun 2023 Parlimen Kelima Belas, Isnin lepas.
Terdahulu, pada Disember 2022, Datuk Seri Zahid melakukan lawatan rasmi ke Kelantan lalu memutuskan untuk mewujudkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang bersifat kekal sebagai persediaan untuk menempatkan mangsa banjir dengan mengenal pasti sekolah-sekolah yang sesuai dijadikan PPS.
“Tetapi, cadangan ini akan terus diperhalusi oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama Kerajaan Negeri bagi mengoptimumkan Pusat Pemindahan Kekal yang diperlukan di Tumpat,” ulasnya.
Ikuti berita dalam Buletin Darulnaim.
#ViraliyatBerita4ptg