KOTA BHARU – Jawatankuasa Pondok Pasir Tumboh merancang akan membina bangunan baharu tiga tingkat bagi menggantikan asrama wanita yang terbakar awal Ramadan lalu.
Penyelia Asrama Wanita Pondok Pasir Tumboh, Shuib Omar berkata, perkara itu masih dalam perancangan dan akan dibincangkan dalam masa terdekat dengan pihak tertentu.
“Setakat ini sumbangan wang tunai yang ada melebihi RM100,000 dan beberapa sumbangan lain sentiasa dihulurkan atas rasa prihatin terhadap kejadian kebakaran di sini.
“Kami berhajat mungkin akan membina bangunan tiga tingkat iaitu menjadikan tingkat bawah sebagai dewan, manakala tingkat kedua dan ketiga sebagai asrama wanita,” katanya semasa menerima kunjungan dan sumbangan al-Quran serta wang.
Sumbangan berkenaan disampaikan Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf (KMK), Muhammad Nasir Hamzah, semalam.
Shuib berkata, hikmah kejadian semasa Ramadan, kunjungan dan sumbangan tidak putus datang daripada pelbagai pihak yang turut membantu mereka.
Sementara itu, Muhammad Nasir berkata, pemberian al-Quran dan kewangan itu diharap sedikit sebanyak mengurangkan beban pelajar dan pihak pentadbir supaya boleh membina sebuah bangunan baru.
“Kita mendoakan supaya asrama baru dibina dengan kemudahan lengkap dan memberi keselesaan kepada pelajar,” katanya. [SINAR HARIAN]