RM11.76 JUTA DIBELANJAKAN UNTUK KELANTANKU BERSIH 2022

KOTA DARULNAIM – Hasrat Kerajaan Negeri dalam memastikan rakyat Kelantan sihat dan sejahtera dapat dizahirkan dengan usaha yang dibuat melalui program Kelantanku Bersih yang mula dilancarkan pada 25 April 2021 dan kemudiannya diperkasakan dengan Dasar Kelantanku Bersih 2022 – 2027 yang diluluskan pada 11 Mei 2022 yang lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan YB Dato’ Dr Izani Husin berkata, Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM11.76 juta bagi merealisasikan Program Kelantanku Bersih pada tahun 2022.

“Perbelanjaan tersebut merangkumi kos pemerkasaan jentera sebanyak RM4.03 juta, penswastaan pengurusan sisa pepejal RM2.47 juta serta menaik taraf kemudahan awam dan infrastruktur di tempat tumpuan RM2.5 juta telah diperuntukkan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah menerima peruntukan sebanyak RM485,976.85 bagi pelaksanaan Zon Bersih, Indah dan Ceria.

Selain itu katanya, bagi memberi kesedaran dan menggalakkan masyarakat untuk turut sama menyertai program Kelantanku Bersih ini, Kerajaan Negeri turut membelanjakan RM485,976.85 bagi mengadakan kempen kebersihan, gotong-royong dan pertandingan kebersihan.

“Usaha yang dibuat oleh Kerajaan Negeri adalah untuk kesejahteraan kita semua, justeru menjaga kebersihan hendaklah dibudayakan dalam kehidupan kita sama ada kebersihan diri sendiri, tempat tinggal, masjid-masjid, tempat-tempat awam serta tempat makan seperti restoran-restoran dan sebagainya agar kita semua terhindar daripada sebarang penyakit di samping dapat membawa imej yang positif kepada pengunjung,” ujarnya ketika dihubungi, semalam.

Ikuti berita selanjutnya dalam Buletin Darulnaim.

#ViraliyatBerita9pg

Pautan: RM11.76 JUTA DIBELANJAKAN UNTUK KELANTANKU BERSIH 2022

(Visited 7 times, 1 visits today)

Add Comment