Sasar Kota Bharu sifar HIV 2030

KOTA BHARU – Kelantan menyasarkan Kota Bharu menuju sifar HIV menjelang 2030 di bawah projek inisiatif Bandar Menuju Sifar HIV yang dilancarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan dipersetujui pelaksanaannya di Malaysia pada 18 November 2011.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, ia dipersetujui melalui Deklarasi Politik HIV/ Aids oleh tujuh negara Asean iaitu Kemboja, Indonesia, Laos, Vietnam, Thailand dan Malaysia.

Menurutnya, projek pertama di Malaysia ialah di Melaka (2012) diikuti Kota Kinabalu, Seremban, Kuching, Kuantan (2014), Seberang Perai Utara, Kuala Lumpur, Hulu Terengganu (2015), Teluk Intan (2016), Langkawi, Ampang (2017) dan Kota Bharu pada tahun ini.

“Saya harap Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) akan mengetuai inisiatif ini dengan memberi komitmen tinggi bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu serta sokongan padu semua agensi lain dalam mencapai matlamat menurunkan kadar HIV ini,” katanya ketika merasmikan Hari Aids Sedunia di Pasaraya Aeon, semalam.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata, Kelantan mencatat penurunan lebih 90 peratus kes di antara tahun 2005 hingga 2017 di mana kadar notifikasi adalah tertinggi iaitu 82.3 per 100,000 populasi (2005) kepada 7.4 per 100,000 (2017).

Menurutnya, kejayaan itu adalah impak program Pengurangan Kemudaratan yang dilancarkan Jabatan Kesihatan bermula 2006 dengan sokongan padu badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Perantara Pesakit Negeri Kelantan (Sahabat).– SINAR HARIAN 16/12/2018

http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/sasar-kota-bharu-sifar-hiv-2030-1.915934

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment