Wan Siti Nur Nazihah Wan Yusoff akur dengan apa yang tersurat untuknya, bergelar pemandu kepada satu-satunya Exco wanita, yang juga Adun Demit, Mumtaz Md Nawi, biarpun kadang kala masih ada keraguan di sebalik keputusan dibuat.
“Kadang-kadang ada juga terfikir, betul ke boleh buat. Maklumlah semua tahu ini kerja lelaki, tetapi tidak ada yang mustahil, tambahan pula orang sudah memberikan kepercayaan.
“Jika orang percaya dengan kemampuan kita, kenapa perlu dinafikan lagi, sebaliknya buat dan buktikan, saya yakin insya-ALLAH saya mampu melakukannya,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Menurut anak kedua daripada tujuh beradik ini, kerjaya sebagai pemandu tidak terlalu asing baginya kerana sebelum ini dia pernah menjadi pemandu bas sekolah selama tiga tahun.
“Kerjaya sebagai pemandu bermula secara tidak sengaja, ketika itu saya hanya menghantar dan mengambil adik dari sekolah, kemudian ada anak-anak jiran yang ingin tumpang kami. Semakin lama semakin ramai, jadi saya putuskan untuk menyediakan perkhidmatan bas sekolah dengan saya sebagai pemandunya,” katanya.
Wan Siti Nur Nazihah yang juga anak kepada pasangan Wan Yusoff Wan Ahmad, 54, dan Limah Yusoff, 56, berkata, ketika bekerja sebagai pemandu bas sekolah dia turut diberi peluang menjadi pemandu kepada VIP-VIP parti dari Kuala Lumpur yang datang ke negeri ini.
Mengakui tidak begitu mengenali majikannya secara rapat, Wan Siti Nur Nazilah tidak menolak kemungkinan penglibatannya dalam beliawanis selain cara melaksanakan tugas menarik perhatian Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan itu untuk menggunakan khidmatnya.
Memulakan tugas pada 3 Januari lalu, dia mengakui walaupun dari segi kudratnya tidak akan sama dengan lelaki, namun dia percaya mampu memikul tanggungjawab dengan baik dan sentiasa bersedia lebih awal bagi memastikan dia tidak tergesa-tergesa. – sinar Harian