oleh Che Maziah Mat
KOTA BHARU– Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri Kelantan terus mara ke hadapan menerajui informasi berasaskan membangun bersama Islam.
Dengan tekad menjadi rujukan maklumat tepat dan cepat mengenai dasar dasar dan perkembangan Kerajaan Negeri Kelantan sebagai peneraju perubahan, hari ini UPKN menerima kehadiran pengarah baharu bagi mencorak halatuju tuntas yang lebih strategik bagi menghadapi PRU yang bakal tiba tidak lama lagi.
Sudah pastinya tidak asing bagi kita semua, mengalu-alukan kedatangan Pengarah UPKN YB Ustaz Ahmad Fathan Mahmood @ Mahamad yang bakal melakar sejarah penting untuk mengemudi UPKN ke arah kecemerlangan.
Beliau juga merupakan ADUN N.06 Chempaka yang telah memenangi Pilihan Raya Kecil pada tahun 2015 bagi menggantikan tokoh ulama tersohor Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia. Memiliki perwatakan yang menarik, ilmu yang tinggi serta mempunyai latar kehidupan yang unggul ini berasal dari Kampung Baung, Kota Bharu Kelantan.
Beliau berkelulusan Sarjana Syariah dari Universiti Malaya (UM) dan pernah menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir dalam bidang sama seterusnya membina karakter yang mantap untuk meyakinkan ahli parti untuk bertanding di kawasan tokoh ulama tersohor itu.
Ternyata kemenangan berpihak kepada beliau kerana telah berjaya menambat hati pengundi serta mengekalkan tradisi kemenangan di Dun berkenaan. Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lepas, beliau telah mendapat 10,549 undian ketika menentang Mohamad Fareez Noor Amran daripada parti Barisan Nasional yang mendapat 7,075 undi dengan majoriti undi sebanyak 3,474.
Selain diamanahkan juga sebagai Bendahari Kelab Penyokong Kerajaan, beliau kini merupakan salah seorang daripada Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Dakwah Malaysia (YADIM).
Kami di UPKN amat berbesar hati dan mengucapkan selamat datang kepada YB Ustaz Ahmad Fathan Mahmood @ Mahamad. Ahlan wasahlan.- UPKN KELANTAN 1/04/2021