Islam sangat mementingkan pencarian ilmu dan membasmi kejahilan, oleh sebab itulah kedudukan seseorang guru amat tinggi disisi Islam. Allah SWT berfirman :
يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آَمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ
“Allah mengangkat serta meninggikan darjat orang-orang yang beriman diantara kamu dan juga orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan”. (Al-Mujadalah :11)
Islam juga menggariskan bahawa dengan memiliki ilmu seseorang itu akan selamat dan tuntutan agar mendapatkan ilmu sehingga menjadi orang Alim telah dinyatakan dalam banyak hadis Nabi SAW. Sekiranya tidak mampu untuk menjadi Alim Ulama paling kurang kita hendaklah berusaha agar mencintai ilmu pengetahuan. Sabda Rasulullah SAW:
كُنْ عَالِمًا ، أَوْ مُتَعَلِّمًا ، أَوْ مُسْتَمِعًا ، أَوْ مُحِبًّا ، وَلا تَكُنِ الْخَامِسَةَ فَتَهْلَكَ
“Jadilah engkau orang yang berilmu atau orang yang belajar atau orang yang mendengar ilmu atau paling kurang yang mencintai ilmu. Janganlah engkau menjadi orang yang kelima maka engkau akan binasa”. (Riwayat Imam Baihaqi)
Sempena Sambutan Hari Guru pada hari ini iaitu 16 Mei 2015 yang bertemakan ‘Guru Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak’, saya ucapkan ‘Selamat Hari Guru’ kepada semua warga pendidik. Segala ilmu yang dicurah dan didikan akhlak yang telah diterapkan kepada pelajar akan menjadi amal soleh yang berpanjangan sebagai bekalan menemui Allah SWT kelak.
Guru bukan hanya menyediakan pendidikan sahaja tetapi mesti memastikan ruh Islam itu hidup di dalam jiwa para pelajar. Para guru perlu berperanan ke arah membentuk generasi yang bukan hanya sekadar muslim tetapi mukmin. Apabila sudah mencapai tahap mukmin dengan sendiri kita boleh melahirkan pelajar yang Muttaqin dan Muslihin iaitu yang bertaqwa dan menjadi agen perubah serta penegak kebenaran dalam masyarakat.
Pendidikan rohani yang seimbang juga mesti diutamakan dan sentiasa diberi pemantauan kerana dengan didikan inilah akan melahirkan generasi yang terdidik yang memiliki perasaan gerun dan takut kepada Allah SWT. Kalau kita lihat dalam masyarakat pada hari ini, masalah dan gejala mungkar yang berlaku bukanlah kerana masyarakat tidak berkelulusan tinggi atau tidak tahu, tetapi kerana masyarakat tidak dibekalkan dengan tarbiyah ruhiyyah yang sempurna yang menyebabkan hilang ketakutan kepada ancaman neraka.
Jadi pendidikan tarbawi ini perlu ditekankan khususnya disekolah-sekolah dan kita berusaha menerapkannya dalam silibus pendidikan di Negara kita. Kita yakin apabila penerapan pendidikan tarbawi ini bergerak secara syumul di sekolah dan di institusi pengajian tinggi, maka mutu akhlak dapat kita tingkatkan.
USTAZ DATO’ HAJI AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
27 Rejab 1436/16 Mei 2015