Serangan kumbang merah di Kelantan terkawal

che-lahpcb2PENGKALAN CHEPA: Serangan kumbang merah palma (RPW) terhadap pokok kelapa sawit di negeri ini masih lagi terkawal.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata biar pun masih terselamat, namun usaha mengawal tetap diteruskan.

Katanya, Kelantan berusaha sedaya mungkin untuk mengawal kehadiran penyakit tersebut.“Kumbang merah merupakan perosak tanaman palma yang sangat bahaya pada masa kini.

“Ia berasal dari Asia Tropika tetapi telah merebak ke-17 negara termasuk Afrika, Eropah, Amerika Syarikat, Timur Tengah dan kini di Malaysia,” katanya ketika merasmikan kempen kawalan RPW di sini semalam.

Menurutnya RPW menjadi perosak pokok kurma di Timur Tengah.

Tanaman palma yang diserang kumbang tersebut termasuk kelapa matag, kelapa pandan, kurma, kelapa biasa, bismarckia palm dan chinese fan palm.

Che Abdullah berkata kerajaan negeri mengambil langkah awal walaupun kumbang merah belum menyerang tanaman sawit di negeri ini.

“Kumbang merah ini sudah kelihatan di Kelantan, namun setakat ini ia belum menyerang pokok sawit lagi kecuali pokok kurma dan kelapa,” katanya.

Che Abdullah juga berkata, projek perintis kurma seluas empat ekar di Pasir Puteh rosak akibat serangan kumbang itu.

Menurutnya juga kepakaran yang ada di Jabatan Pertanian atau biotek belum mampu membendungnya.

“Oleh itu usaha perlu digerakkan secara bersepadu untuk menyelamatkan pokok tersebut mengikut kaedah terbaru,” ujarnya.

Beliau juga berkata, keluasan tanaman kelapa di Semenanjung Malaysia sekarang seluas 85,799 hektar dengan nilai RM500 juta.

Bagaimanapun daripada jumlah tersebut seluas 465 hektar kelapa dan lebih 300 pokok kurma musnah diserang kumbang merah. – HARAKAHDAILY 3/11/2016

(Visited 15 times, 1 visits today)

Add Comment