SIARAN DIGITAL UPKN KIAN DIMINATI

oleh Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM – Selama lima hari bersiaran melalui ‘page fb live’, slot JimiMC ‘Xtra berjaya memikat kian ramai penonton saban hari.

Program sembang santai berkonsep deejay (DJ) radio bermula 1 Julai lalu bersiaran dari mini studio Urusetia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri Kelantan (UPKN) selama sejam mulai pukul 2 hingga 3 petang setiap hari bekerja.

Menurut Penolong Pengarah (Perhubungan Awam), Azimi Mahmood selaku DJ, program ini antara siaran percubaan (pilot project) agensi kerajaan negeri melalui UPKN yang berkomunikasi secara langsung dengan rakyat berselingan hiburan ringan lagu-lagu pop semasa dan setempat seperti lagu dikir barat, kegemaran rakyat Kelantan.

Katanya, matlamat program ini bagi memberi variasi kepada pelbagai program Kerajaan Kelantan. Sasaran utama ialah warga millennial yang sangat berbeza dengan generasi sebelumnya terutama aspek kemahiran mereka berkaitan teknologi.

“Kita cuba tarik minat generasi Z ini mengenali Kerajaan Negeri melalui pendekatan ramah mesra di dalam talian berunsur humor dan informasi bermanfaat, bukan sekadar hiburan semata-mata.

“DJ muncul secara solo atau sesekali berteman untuk mengulas hal-hal semasa, petikan berita portal, laman fb berkaitan, IG, Twitter yang masuk akal, kesukaan ramai, sohor kini, tular dan fakta. Macam Profesor Serba Tahu di dalam komik Gila-Gila yang popular dahulu. Kena dengan ‘Xtra”, hurai pengacara majlis rasmi kerajaan negeri yang berpesonaliti ceria ini.

Ternyata, siaran JimiMC ‘Xtra berjaya mencuit hati ribuan audien dengan celoteh santai berinformasi tambah memeriahkan program sedia ada yang kebanyakannya berformat berita dan wacana rasmi.

Sekali gus program sembang santai seperti ini dapat menyeimbangkan fitrah manusia yang juga memerlukan rehat dan libur untuk mewaraskan minda dan menyegarkan emosi ketika bekerja.- UPKN KELANTAN 8/07/2020

(Visited 22 times, 1 visits today)

Add Comment