SIRI 2: SKIM CAKNA SURI 2020 RAIKAN SURI RUMAH

PAPARAN EKSKLUSIF SIRI KEJAYAAN KERAJAAN NEGERI KELANTAN BERTEMAKAN “KEBERSAMAAN DEMI RAKYAT”

SIRI 2: SKIM CAKNA SURI 2020 RAIKAN SURI RUMAH

oleh Norzana Razaly

SEJAJAR dengan Dasar Keluarga Mawaddah, Kerajaan Negeri Kelantan peka bahawa suri rumah adalah kerjaya yang sangat penting dan perlu dihormati dalam membentuk keluarga Mawaddah. Oleh itu, pelbagai program Suri Mithali termasuk Skim Cakna Suri 2020 diperkenalkan.

Permohonan skim tersebut telah dibuka kepada para isteri yang layak sejak 3 November sehingga 24 Disember tahun lalu.

Secara berperingkat, suri rumah di Kelantan yang terpilih dari Fasa 1 meliputi Gua Musang, Jeli, Tanah Merah, Kuala Krai dan Rantau Panjang sudah pun menerima Skim Cakna Suri 2020 yang dikreditkan ke dalam akaun penerima bermula 19 hingga 20 Januari 2021.

Skim ini diwujudkan khusus untuk menghargai jasa dan pengorbanan suri rumah sepenuh masa yang memenuhi kriteria yang ditetapkan iaitu berusia 54 tahun ke bawah, berstatus isteri yang tidak bekerja, mempunyai tanggungan anak tiga orang dan ke atas serta berpendapatan isi rumah RM 1,500 sebulan.

Menurut Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, YB Dato’ Hajah Mumtaz Md Nawi, skim yang dilancarkan sempena Sambutan Hari Suri Rumah Peringkat Negeri Kelantan ini berupa bantuan sekali bayar (one-off) bernilai RM100.

“Kerajaan Kelantan amat menghargai pengorbanan suri rumah dalam melahirkan dan membentuk generasi masa kini. Melalui skim yang teristimewa ini kita berharap suri rumah berasa dihargai dan terus istiqamah memainkan peranan sebagai “ibu rumah tangga” selaku pembantu ketua keluarga yakni suami yang bertanggung jawab sepenuhnya dalam menguruskan hal-ehwal kekeluargaan.

“Kita juga berhasrat untuk mempertingkatkan kesedaran masyarakat betapa profesyen suri rumah adalah mulia dan perlu dihormati. Suri rumah bukan abdi. Oleh itu, kerjaya suri rumah tidak boleh dianggap remeh sebab itulah kita anjurkan Hari Suri Mithali pada Sabtu minggu terakhir Ogos, setiap tahun”, katanya selepas gimik penyerahan replika skim tersebut kepada salah seorang penerima, di pejabatnya pada 18 Januari lalu.

Pada hari yang sama,  wawancara eksklusif bersama YB Dato’ Mumtaz tentang skim ini telah disiarkan oleh Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) menerusi slot Jimi McXtra di pautan https://rb.gy/0ewpvf

Manakala penerima Fasa 2 melibatkan suri rumah yang terpilih dari jajahan Machang, Pasir Putih, Bachok dan Pasir Mas pula bakal menerima skim ini bermula 26 hingga 27 Januari 2021. Disusuli penerima Fasa 3 bermula 30 hingga 31 Januari 2021 oleh suri rumah terpilih dari Kota Bharu, Tumpat, Kubang Kerian dan Pengkalan Chepa.

Pengarah Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga (U-KeKWa),  Ilvira Mohd Dasuki memaklumkan pihaknya memohon kepada pemohon yang layak untuk bekerjasama dengan memberikan maklumat yang diperlukan jika dihubungi melalui whatsapp atau telefon untuk mempercepatkan proses-proses seterusnya.

“Nombor yang digunakan untuk menghantar mesej menerusi aplikasi whatsapp adalah 011-5852 2436, 011-6943 2584, 013-983 6915, 013-983 5912 dan 013-995 5780. Sila abaikan jika penerima terbabit menerima mesej daripada nombor selain di atas bagi mengelakkan sebarang kekeliruan kepada kedua-dua pihak”, pesannya.

Sejak tiga dekad Kerajaan Islam Kelantan pimpinan ulama dan umara mentadbir-urus negeri ini, ternyata semua golongan masyarakat di Kelantan diraikan sebaik-baiknya mengikut keperluan semasa.

Satu demi satu insentif kebajikan untuk rakyat diberikan termasuklah menghargai pengorbanan para isteri yang melahirkan, mendidik dan membentuk generasi dalam sesebuah institusi keluarga yang berbilang kaum di Kelantan tidak kira apa pun bangsa, keturunan dan agama.

Tahniah atas kewujudan Skim Cakna Suri 2020 yang telah berjaya meraikan 6750 suri rumah termasuk para isteri dari kaum minoriti yang terpilih di seluruh Kelantan.- UPKN KELANTAN 20/1/2021

#SiriKejayaanKebersamaanDemiRakyat

#KelantanNegeriBerkebajikan

#KeberkatanKemakmuranKebajikan

(Visited 40 times, 1 visits today)

Add Comment