KOTA BHARU – Kelantan memulakan sambutan tahun baharu dengan solat sunat hajat berjemaah yang turut dihadiri Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob.
Suasana hujan lebat dan air bertakung di dataran Stadium Sultan Mohamad IV, di sini langsung tidak menjejaskan lebih 1,000 jemaah yang sama-sama memohon keberkatan untuk memulakan tahun 2017.
Majlis solat hajat berkenaan diimamkan Penolong Pengarah Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Mohd Hafiz Mahmud.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, yang juga Urusetia Penganjur Program Ambang 2017, Datuk Abdul Fattah Mahmood.
Terdahulu, Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Datuk Mohd Asri Mat Daud, menyampaikan kuliah Maghrib yang mahu umat menjauhi hasutan syaitan dengan mendalami ilmu al-Quran dan amalan zikir supaya tidak lalai dan kufur.
Sambutan diteruskan dengan ceramah daripada penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus. [SINAR HARIAN]