PASIR MAS – Gerakan Pengguna amat penting bagi menyedarkan masyarakat tentang hal ehwal kepenggunaan.
Ketua Cawangan, Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Pasir Mas Suhaimi Abas memaklumkan KPDN sentiasa mengemas kini struktur dan peranan jabatan agar gerak kerja tersusun dan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara berstrategi.
Katanya, bagi memperkasa peranan jabatan peringkat daerah, Mesyuarat Gerakan Pengguna Daerah (MGPD) diadakan bertujuan untuk menstruktur semula gerak kerja secara kolektif selaras dengan penambahbaikan struktur dan fungsi organisasi.
“Kita berharap ahli sidang GPD selaku rakan strategik yang dipilih mewakili agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dapat memberi komitmen penuh dan bergerak aktif secara kolektif.
Ahli mesyuarat juga diharap dapat bertindak sebagai penasihat kepada Kerajaan Negeri dan GPN berkaitan isu-isu kepenggunaan,” jelasnya.
Tambahnya, perbincangan dalam mesyuarat memfokus isu advokasi kepenggunaan khasnya berkaitan hak pengguna.
“Kita berharap dapat meningkatkan jaringan penglibatan dengan agensi kerajaan pusat dan negeri serta NGO kepenggunaan dan bukan kepenggunaan di Parlimen Pasir Mas dan Rantau Panjang.
Kita merancang melaksanakan program berbentuk kerjasama agar dapat meningkatkan kesedaran kepenggunaan, menambah maklumat dan mendekatkan lagi hubungan secara langsung dengan pengguna,” katanya selepas mempengerusikan sesi pertama MGPD, hari ini.
Beliau turut memperinci antara tugas-tugas sidang GPD merangkumi:
Merancang, menyelaras dan melaksanakan aktiviti-aktiviti kepenggunaan bagi peringkat daerah;
Memberi pandangan kepada GPN dalam sebarang perkara yang berkaitan dengan kepenggunaan;
Membantu mengenal pasti, menyiasat dan mengemuka isu-isu kepenggunaan di peringkat daerah dan
Membantu menggerakkan Rakan KPDN supaya aktif berperanan.
Suhaimi turut mengundang orang ramai memeriahkan Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan di AEON Mall, esok bermula pukul 8.30 pagi hingga 10 malam.
Pengunjung berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik melalui kuiz kepenggunaan, pertandingan mewarna dan banyak lagi.
Ikuti berita dalam Buletin Darulnaim.
#ViraliyatBerita4ptg