oleh Norzana Razaly
Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kelantan akan menganjurkan Hari Kitar Semula bersama Jabatan, Bahagian dan Unit Dalam Kompleks Kota Darulnaim pada 23 dan 24 Jun 2020 ini bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang di lobi Jabatan, Bahagian dan Unit masing-masing Dalam Kompleks Kota Darulnaim.
Menurut Ketua Penolong Setiausaha (Pengurusan Korporat) merangkap Ketua Jawatankuasa Promosi Induk Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) Pejabat SUK Kelantan, Fatimah Mohd Noor, program kali kelima ini mengulangi skala rutin, dwi tahunan.
Katanya, kali pertama Pejabat SUK menganjurkan program kitar semula ini pada tahun 2017 semasa berusaha untuk mendapatkan Pensijilan EKSA daripada pihak Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).
Menariknya, semua bahan kitar semula tersebut akan dipungut oleh pihak yang ditugaskan di jabatan masing-masing.
Sementara proses timbang dan bayar juga terus dibuat di situ berdasarkan perincian berikut; kertas hitam putih RM0.35/kg, kertas RM0.20/kg, kotak RM0.20/kg, plastik RM0.40/kg dan aluminium RM2.50/kg.
“Program ini turut melibatkan pihak swasta, syarikat RD Paper Sdn Bhd bagi memudahkan urusan pemugutan dan penghantaran bahan kitar semula ke lokasi pemprosesan.
“Oleh itu, kita berharap semua kakitangan jabatan, bahagian dan unit di dalam Kompleks Kota Darulnaim terlibat secara aktif demi membuktikan sokongan terhadap kebersihan alam sekitar yang menepati slogan Kelantanku Bersih”, ujarnya.