SULTAN KELANTAN DUKACITA MASIH ADA RAKYAT AMBIL RINGAN SOP

webmaster

oleh Che Maziah Mat

KOTA BHARU, 6 Mei: KDYMM Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V melahirkan rasa dukacita berikutan keadaan rakyat di negeri ini yang rata-rata masih lagi mengamalkan budaya tidak endah kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Dalam satu kenyataan terbaharu, baginda menitahkan bahawa, semua pihak terutamanya rakyat di negeri Kelantan, sama ada perantau, golongan VIP dan lain-lain supaya tidak merentas negeri ini sekiranya tiada perkara kecemasan yang berlaku, berikutan baru-baru ini dikatakan merebaknya varian Afrika Selatan B.1.351 yang dikesan di negeri ini berpunca daripada aktiviti tersebut. Justeru itu, baginda menyeru semua rakyat agar mengambil serius tentang perkara berkenaan.

“Kebanyakan Unit Rawatan Rapi (ICU) sekarang hampir penuh, dan ini akan menjejaskan semua pesakit ICU yang sedia ada sehingga perlu ditempatkan di wad biasa.

Setiap hari, jumlah pesakit COVID-19 semakin meningkat, dan ini memerlukan pihak kerajaan membuka hospital lapangan di Padang Perdana, dan ini sudah semestinya menunjukkan bahawa situasi amat kritikal di Kelantan,” kata baginda lagi.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Sultan Muhammad V, Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan, berkata baginda turut menzahirkan kebimbangan susulan peningkatan mendadak jangkitan COVID-19 sehingga mencecah lebih 400 kes sehari di Kelantan sejak pertengahan bulan lalu.

Sementara itu, baginda juga menyeru kepada semua peniaga agar mengutamakan pengurusan perniagaan secara dalam talian dan berharap agar seluruh rakyat sentiasa saling bekerjasama dengan melindungi ahli keluarga dan orang sekeliling, selain menunjukkan rasa simpati dan bertimbang rasa terhadap kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang telah banyak berkorban sejak awal pandemik demi mengekang penularan COVID-19, terutama menjelang Aidilfitri pada minggu depan.

Baginda turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh kakitangan KKM yang tidak pernah mengenal penat lelah sepanjang berkhidmat untuk segenap lapisan masyarakat.

Sempena bulan Ramadan yang akan melabuh tirainya, baginda mengajak semua rakyat untuk sama-sama berdoa ke hadrat Allah SWT supaya penularan COVID-19 dapat dibendung dan akan kembali kehidupan seperti biasa.

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

KERAJAAN NEGERI SUMBANG KUIH RAYA UNTUK PASUKAN KESELAMATAN

oleh Nik Azman Nik Mustafa KOTA BHARU, 6 Mei: Sebanyak 17 agensi anggota pasukan keselamatan menerima sumbangan kuih raya daripada kerajaan negeri pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kuih Raya Aidilfitri daripada Kerajaan Negeri Kelantan 2021 di Kediaman Rasmi Menteri Besar JKR 10 hari ini. Sumbangan disampaikan oleh Yang Dipertua PURNAMA, Datin […]

Subscribe US Now