KOTA BHARU – Menteri Besar YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob menyeru semua umat Islam di Kelantan, agar bersyukur kerana berpeluang menyambut bulan Ramadan dan melakukan ibadah dalam suasana aman, damai dan tenteram.
“Kita perlu mempunyai rasa bersyukur, kerana tempat yang kita membina kehidupan seharian berada dalam keadaan serta suasana yang aman dan damai, berbanding sesetengah tempat di negara lain.
Hal ini kerana, mereka menyambut kedatangan awal Ramadan dengan baru sahaja menerima musibah gempa bumi, peperangan dan dalam suasana perubahan iklim”, ucapnya pada majlis perasmian Program Madinah Ramadan di Dataran Warisan Stadium Muhammad IV, semalam.
Selain itu, sebagai umat Islam juga, persediaan pertama sepanjang bulan Ramadan ini adalah penting dari segi jasmani dan rohani kerana amalan ibadat yang akan dilakukan berkait dengan amalan yang akan melibatkan penyertaan dari jasmani dan rohani tersebut.
Terdahulu, Program Madinah Ramadan yang diadakan setiap tahun ini, membabitkan membelanjakan hampir RM 1 juta ringgit bermula dengan Iftar Jamaie setiap hari, termasuk penyediaan hampir 1000 bungkus nasi sehari khususnya meraikan pengunjung-pengunjung yang hadir berbuka puasa ke Madinah Ramadan.
Selain itu, pada tahun ini Madinah Ramadan menerima tetamu khas Sheikh Dr. Isa Alma Sarawi, selain melantik Imam Terawih yang sudah dikenali ramai yang berasal dari Negara Mesir iaitu Sheikh Hesyam Abdelbary Muhamed Rageh dari Pertubuhan Akademi Al-Quran dan Sheikh Yaseer Ahmad Al-Syarqawi.
Sebagaimana kebiasaan, Madinah Ramadan kali ini juga melibatkan Program Daurah Al-Quran yang mengkhatam 30 juzuk al-Quran sepanjang Ramadan. Program bermula 9.00 pagi hingga 1.00 tengahari, yang menampilkan pengkuliah-pengkuliah terkenal.
“Dengan pelaksanaan pelbagai program di Madinah Ramadan ini, diharapkan seluruh pelosok masyarakat mampu mengambil manfaat serta. Program ini adalah sokongan Kerajaan dalam menjayakan prinsip Membangun Bersama Islam Negeri Kelantan,” jelasnya.
Ikuti berita dalam Buletin Darulnaim.
#ViraliyatBerita4ptg