TAHUN HARIMAU LAMBANG DAYA JUANG YANG BUKAN CALANG-CALANG

KOTA BHARU, 1 Feb: Sambutan perayaan Tahun Baharu Cina yang jatuh pada tanggal 1 Februari 2022 dianggap memberi ‘ong’ (tuah) buat kaum Tiong Hwa di Malaysia amnya dan di Kelantan khususnya kerana tarikhnya lawa apabila jatuh pada pemula bagi bulan kedua.

Tambahan pula, tahun ini adalah Tahun Harimau yang sering disimbolisasikan dengan keberanian dan daya juang yang bukan calang-calang.

Setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT atas limpah nikmat-Nya, dapatlah kita, sebagai Keluarga Malaysia memanfaatkan cuti perayaan ini dengan kemeriahan berada di samping sanak keluarga dan sahabat handai.

Suasana ini berganda nikmatnya setelah dua tahun sambutan terdahulu terpaksa diharungi dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menegah sebarang aktiviti rentas sempadan dan perkumpulan berskala besar.

Kini, dalam fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), rakyat Malaysia dikira bertuah kerana pada tahun ini, kita dapat merayakannya dalam suasana agak selesa walaupun masih dalam ruang lingkup pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Oleh itu, mengambil aura Tahun Harimau, saya mengucapkan selamat menghayati semangat juang Sang Belang kepada seluruh masyarakat Cina di Kelantan dan di perantauan.

Kepada perantau anak Kelantan yang bercadang ingin pulang ke kampung halaman, diharapkan sentiasa berhati-hati dari aspek kesihatan fizikal dan emosi. Bercuti memang seronok apatah lagi pulang berjumpa sanak-saudara di tanah kelahiran sendiri.

Sebagai ketua keluarga, hendaknya jangan sampai terlalu teruja sehingga terlupa menjalani pemeriksaan kesihatan sendiri dan keluarga terlebih dahulu sebelum pulang.

Aspek keselamatan adalah keutamaan dalam segala hal. Oleh itu, pastikan kita berehat secukupnya sebelum bertolak kerana pemanduan pada musim cuti perayaan memerlukan stamina luar biasa.

Jarak tetap sama, tetapi memerlukan masa yang lama kerana jumlah kenderaan masuk ke Kelantan meningkat sehingga 800 ribu.

Tidak terkesamping, pastikan juga kenderaan kita sudah diselanggara dengan baik supaya semua ahli keluarga beraya dengan sejahtera dan selamat pulang semula ke destinasi masing-masing.

Ingatan tulus ikhlas daripada;
YB AHMAD FATHAN MAHMOOD
Pengarah UPKN

(Visited 19 times, 1 visits today)

Add Comment