oleh Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 23 Mei: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Dato’ Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan Kerajaan Malaysia memperkenalkan Tim S.O.P. (Pasukan Pemantau dan Penguatkuasaan Prosedur Operasi Standard) di seluruh negara.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Kelantan bersungguh-sungguh mematuhi semua arahan dan saranan Kerajaan Negeri dan Persekutuan demi mengekang penularan Covid-19.
“Pasukan ini diperkenalkan untuk memantau dan menguatkuasakan pencegahan penularan wabak tersebut dalam kalangan rakyat kerana kita perlu tegas di samping untuk merawat kes-kes positif Covid-19, pencegahan juga cukup penting daripada mengubati.
“Oleh itu langkah pencegahan yang kita buat ialah memperketatkan soal pematuhan kepada SOP untuk mencegah penularan wabak oleh pasukan pegawai penguatkuasaan tersebut sudah lama ditubuhkan cuma pemakaian bengkung lengan berwarna merah itu adalah sebagai simbolik” katanya.
Tim tersebut diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Imigresen dan terbaharu, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut dilibatsertakan.
“Tim S.O.P yang diperkenalkan ini diharap dapat menimbulkan kesedaran dan kegerunan kepada rakyat untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan” tambahnya semasa sesi sidang media di Mabna yang turut disaksikan oleh YAB Menteri Besar Kelantan.