KOTA BHARU: Adun Barisan Nasional (BN) berharap mana-mana pihak tidak menyalahkan kerajaan negeri berkaitan pembinaan Tugu Peringatan Banjir di Kuala Krai.
Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) berkata tugu tersebut dibina dengan pembiayaan Lembaga Juruukur Tanah Malaysia selepas inisiatif diusahakan Persatuan Juruukur Malaysia.
“Tidak boleh hendak salah kerajaan negeri. Apa-apa maklumat mengenai ukur datang daripada Persatuan Juruukur Malaysia. Kami ada enam lembaga iaitu tiga wakil kerajaan dan tiga lagi dari swasta, di mana saya salah seorang daripadanya.
“Tugu itu mencatat maklumat mengenai banjir yang berlaku di Kelantan sejak 1920,” katanya ketika menjelaskan isu terbabit pada persidangan Dun hari ini.
Sebelum ini ada pihak mempertikai pembinaan tugu tersebut memandangkan masih ada mangsa banjir besar akhir 2014 belum mendapat rumah baharu.
Tugu tersebut dibina di Kuala Krai membabitkan kos kira-kira RM60,000 dan dirasmikan Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yaakub pada akhir Ogos lepas.
Ia dibina hasil kerjasama Persatuan Juruukur Malaysia, Jabatan Pemetaan Malaysia, Lembaga Juruukur Malaysia dan Majlis Daerah Kuala Krai Utara.
Ketika menjawab soalan Azami Mohd Nor (PAS-Kadok) Menteri Besar berkata, tugu itu tugu tersebut mencatat tanda aras bah kuning yang melanda Kelantan pada akhir 2014.
“Ia merupakan fakta sejarah. Ia menjadi tarikan pelancong. Terima kasih kepada pihak-pihak yang terlibat membina tugu tersebut,” katanya.
Azami pula mahu tugu tersebut dijaga sebaik mungkin selepas dirasmikan sebelum ini.
Ustaz Ahmad juga berkata kewujudan tugu terbabit seiring dengan pembinaan rumah-rumah mangsa banjir di Kelantan. –HARAKAHDAILY 24/10/2016