KOTA BHARU: Isu tunggakan pinjaman kakitangan Yayasan Islam Kelantan (Yik) yang berbangkit sebelum ini dijangka diselesaikan sepenuhnya pertengahan tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata sebelum ini Yik telah membayar tunggakan tersebut sebanyak RM2 juta.
Katanya tunggakan yang ada sekarang sebanyak RM12 juta akan dibayar sepenuhnya pertengahan 2016.
“Tunggakan tersebut sebenarnya sejak 2001 lagi. Namun kebelakangan ini jumlahnya agak tinggi memandangkan Yik terpaksa mengambil tanggunjgawab selepas Kementerian Pendidikan memperkenalkan skim baru.
“Tambahan pula Yik terpaksa membelanjakan sebanyak RM5 juta bagi membeli tanah di Tunjung untuk membina pejabat baru,” katanya di sini.
Tapak pejabat baru Yik itu seluas 10 ekar sekarang sedang dijalankan kerja-kerja menambun tanah.
Kompleks pendidikan itu akan turut dilengkapi Pusat Bahasa Arab dan pelbagai lagi. Anggaran kos pembangunan sebanyak RM14 juta.
Pada persidangan Dun lepas ada penyokong kerajaan membangkitkan isu tunggakan pinjaman kakitangan Yik yang tidak dijelaskan kepada beberapa koperasi.
Dr Fadzli juga berkata Yik menerima bayaran hasil projek perladangan daripada syarikat usahasama sebanyak RM10 juta selepas kes mengenainya dibawa ke mahkamah.
Beliau juga menjelaskan tunggakan tersebut tidak membabitkan gaji guru dan kakitangan Yik.
“Sebanyak RM8.5 juta diperuntukan bagi membayar gaji guru dan kakitangan Yik setiap bulan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/12/2015