UMAT ISLAM DISARAN FAHAMI UNDANG-UNDANG SYARIAH

KOTA BHARU – Penganjuran sambutan Hari Hududullah pada tahun ini dalam suasana norma baharu membuktikan kesungguhan kerajaan negeri memperjuangkan perlaksanaan Kanun Jenayah Syariah di Kelantan khususnya dan Malaysia amnya.

Menteri Besar, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan, Haji Ahmad bin Yakob berucap pada Majlis Sambutan Hari Hududullah Sempena 3 Dekad Pentadbiran Negeri Kelantan Membangun Bersama Islam anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) di Dewan Besar Balai Islam, Lundang yang lalu.

Katanya, cabaran yang dihadapi oleh umat Islam pada hari ini cukup getir dengan pelbagai ancaman khususnya dalam usaha membentuk masyarakat yang taat pada agama Islam dan syariat.

“JAHEAIK melalui bahagian Undang-undang Syariah telah melaksanakan operasi secara sistematik dan berkala antara agensi dan jabatan dalam usaha memberi kefahaman dan bimbingan kepada masyarakat tentang kesalahan-kesalahan syariah yang perlu dijauhi.

Kita hendaklah menjadikan syariat Islam sebagai pedoman dan pencegahan di kalangan umat Islam ke arah mewujudkan sebuah masyarakat yang bertaqwa selaras dengan dasar Membangun Bersama Islam,” katanya.

Tambahnya, dalam mengatasi masalah kemunduran umat Islam pada hari ini jalan keluarnya ialah dengan melaksanakan amal makruf dan mencegah kemungkaran bagi melahirkan masyarakat yang berperibadi unggul, cemerlang serta disegani sesuai dengan tuntutan maqasid syariah yang sentiasa mendepani tamadun hidup manusia.

Berhubung perkara yang sama katanya, umat Islam harus mempelajari maqasid syariah secara menyeluruh ke arah mengerakkan kefahaman dan dakwah melalui kesempurnaan hukuman yang terkandung di dalam syariat Islam bagi mengatasi kekeliruan yang membawa kepada fitnah yang berpanjangan terhadap kesempurnaan hukum-hukum Allah.

Berucap sebelumnya, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Haji Daud yang mengingatkan betapa pentingnya kita mengamalkan cara hidup Islam yang menjanjikan keselamatan khususnya dalam menghadapi ancaman wabak Covid-19 sekarang ini.

Beliau yang juga selaku pengerusi program menyatakan, sambutan pada tahun ini diharapkan dapat memberi lebih pencerahan betapa pentingnya melaksanakan syariat Islam demi menegakkan keadilan, keamanan dan kesejahteraan hidup di negara yang bermasyarakat majmuk ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Besar, YB Dato’ Mohd Amar Abdullah, Speaker DUN, YB Dato’ Abdullah Ya’kub, YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), YM Dato’ Tengku Azmi Tengku Jaafar, Pengarah JAHEAIK, YB Dato’ Che Mohd Rahim Jusoh serta ketua-ketua jabatan.

Antara pengisian ialah ceramah khas “Hududullah Dalam 3 Dekad” oleh Pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Dr. Mohd Azhar Abdullah dan forum dengan tajuk “Adat dan Fatwa Dalam Sistem Perundangan Islam dan Sistem Perundangan Sivil” dengan menampilkan dua panelis iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Dato’ Hassan dan Pensyarah KIAS, Dato’ Dr. Haji Abdul Basit Haji Abdul Rahman dengan moderator Dr. Mohd Azhar Abdullah.

YAB Menteri Besar turut menyampaikan kad skuad Amru kepada setiap jajahan melalui ketua jajahan.- 3/11/20 UPKN KELANTAN

(Visited 13 times, 1 visits today)

Add Comment