UMNO Lebih Baik Fokus Pertahankan Kerajaan Pusat

Saya baca kenyataan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Dato Seri Mustapa Mohamed yang menyebut bahawa sekarang ialah masa yang paling sesuai untuk UMNO merampas Kelantan. Saya kira kenyataan ini agak terpesong dari realiti sebenar yang berlaku hari ini.

Situasi sekarang ialah UMNO sudah sangat tenat dan tidak pernah UMNO mengalami krisis sebegini di dalam sejarah. Keyakinan rakyat tehadap kemampuan UMNO dan Barisan Nasional berada di tahap yang sangat rendah ekoran situasi ekonomi yang sangat tidak menentu. Nilai mata wang ringgit Malaysia yang diniagakan dengan nilai yang sangat teruk membayangkan keyakinan pelabur asing juga berada pada tahap yang sangat membimbangkan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan yang juga Menteri yang bertanggungjawab berhubung perdagangan antarabangsa wajar melihat ini sebagai agenda utama. Sekadar yakin untuk merampas Kelantan bukanlah satu perkara baru bahkan menjelang pilihanraya umum 2008, UMNO Kelantan pernah menabalkan bakal ‘Menteri Besar’ yang hari ini telah hilang dari landskap politik.

Justeru, saya kira UMNO fokuslah kepada usaha pertahankan kerajaan pusat terlebih dahulu. Majoriti 47 undi di DUN Ayer Lanas dalam pilihanraya umum yang lalu bukanlah tiket yang selesa untuk Dato Seri Mustapa bercakap tentang merampas Kelantan. Tambahan pula krisis dalaman UMNO yang cukup kuat sehingga mewujudkan ‘pasukan Najib’ dan ‘pasukan Muhyidin’, hampir pasti ia akan mencetuskan implikasi sendiri menjelang pilihanraya umum nanti.

Pemuda PAS sedia menyahut cabaran, Insya Allah Kelantan kita kekalkan bahkan UMNOlah yang wajar bersiap sedia untuk menjadi pembangkang di peringkat nasional nanti.

Pertahankan Kelantan itu tidak semudah slogan, ia wajib dibuktikan dengan kerja keras!

AHMAD FADHLI SHAARI,
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.

Bertarikh : 29 November 2015

(Visited 3 times, 1 visits today)

Add Comment