oleh Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM – Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan (UPKN) berbesar hati menerima kunjung ziarah peserta program Kolej Generasi Sejahtera Kelantan (GENTERA) seramai 45 orang diketuai oleh Pengarah Urusetia Belia, Sukan dan NGO Kelantan (UBeS), Ustaz Nasruddin Mahmud Muhaidin.
Pihak UPKN dimaklumkan bahawa aktiviti berkunjung ziarah ke semua agensi Kerajaan Negeri ialah bagi memenuhi silibus minggu ke-6; pendedahan secara praktikal kepada peserta bagi memahami fungsi dan tanggungjawab agensi pentadbir-urus kerajaan Islam dengan harapan mereka menghayati konsep pelaksanaan dasar Ubudiyah Mas’uliyah dan Itqan (UMI) dan Merakyatkan Membangun Bersama Islam (MMBI) selama hampir 30 tahun Kerajaan Islam Kelantan.
Menurut Pengarah UPKN, Hj. Zulkifli Mamat kunjungan mahabbah ini wajar diberikan nilai tambah dengan permaterian jalinan kerjasama strategik UPKN – GENTERA demi memantapkan lagi gerak kerja jentera penyebaran berita sahih melalui media rasmi Kerajaan Negeri.
“Ahli GENTERA mewakili generasi Z- golongan warga dunia paling kreatif, inovatif dan aktif di dunia maya. Dilengkapi pula dengan ilmu orator, moderator dan melukis karikator.
“Kemahiran ini sangat sesuai berkolaboratif dengan UPKN selaku penerbit produk maklumat bercetak, laman sesawang dan multimedia sebagai agen penular berita benar dan fakta bukan samar dan auta”, ujarnya.