UPKN, PERAKAN UTARA BERJAYA JELAJAH TASIK BANDING

oleh Norzana Razaly

PERAK – Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan (UPKN) dan Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia (PERAKAN) cawangan Sungai Petani berkolaboratif menganjurkan program Jelajah Tasik Banding 2020 pada 28 dan 29 Febuari 2020 yang berjaya mengumpulkan hampir 200 warga Kelantan di perantauan khasnya yang bekerja di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

Menurut pengarah program, Encik Abdul Latif Jusoh yang lebih mesra dipanggil Pok Teh, program tersebut telah dirancang teliti sejak dua bulan lepas dan majoriti hadirin berpuas hati dengan perjalanan program kerana berjalan lancar dan bersistematik mengikut jadual.

“Kami sangat berterima kasih kepada UPKN sebagai rakan penganjur. Termasuklah para pimpinan Negeri Kelantan yang sudi memeriahkan acara. Sebanyak empat buah rumah bot disewa dan digunakan sepanjang program berlangsung. Ia berlabuh secara tersusun rapat dan membolehkan para peserta bergerak dari satu bot ke bot yang lain untuk saling beramah-mesra”, katanya.

Program ramah-mesra tersebut dimanfaatkan dengan acara memasak bersama, makan “anak-beranak”, solat berjemaah, ucapan pimpinan dan pelbagai acara air termasuklah mandi tasik, memancing, menyelam dan menembak ikan serta bersiar di sekeliling Tasik Banding.

Pak Teh menyatakan program ini akan diadakan secara berkala untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara anak-anak Kelantan di perantauan sekitar Sungai Petani dan Kedah amnya serta negeri utara Semenanjung Malaysia.

Pemimpin Kerajaan Kelantan yang hadir ke program ini ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, YB Dato’ Haji Abdullah bin Yaakob, Penyelia Parlimen Tanah Merah, Haji Wan Yusoff Wan Mustafa, Penyelia DUN Gual Ipoh, Haji Razali Yusoff, Timbalan Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan, Encik Nazman Che Iberahim, Pegawai Khas PMBK, Encik Mohd Ali Akbar bin Yusoff serta pimpinan Perakan Sungai Petani.- UPKN KELANTAN 29/2/2020

Sumber: https://www.facebook.com/upknkelantan/posts/2613562968878054

(Visited 58 times, 1 visits today)

Add Comment