Wanita pemandu rasmi anggota Exco

KOTA BHARU: Kelainan demi kelainan yang ditemui di Kelantan, kali ini ditampil pula pemandu rasmi kenderaan kerajaan negeri seorang wanita.

Wan Siti Nur Nazihah Wan Yusof, 27 merupakan pemandu anggota Exco kerajaan negeri, Mumtaz Md Nawi.

Beliau mulai memikul tanggugjawab itu bermula 3 Januari lalu menggantikan pemandu sebelum ini, Kamarul Anwar Ismail yang juga bapa saudara Mumtaz.

Sebelum ini Nur Nazihah berpengalaman sebagai pemandu bas sekolah selama tiga tahun. Beliau juga sukarelawan Polis DiRaja Malaysia.

“Pada peringkat awal saya menolak tawaran itu, tetapi setelah dinasihati beberapa pihak termasuk restu ibu dan ayah akhirnya saya menerima tanggungjawab itu,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya tugas tersebut begitu mencabar lebih-lebih lagi sebagai pemandu kereta rasmi kerajaan negeri.

Nur Nazihah berpakaian seragam berseluar hitam, baju putih, sarung tangan, vest, sarung kaki, tudung dan kasut hitam. Beliau memulakan tugas jam 7.30 pagi setiap hari.

Mumtaz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan berkata beliau terpaksa memohon mengambil pemandu wanita bagi memudahkan urusannya.

Katanya, sebelum ini bapa saudaranya bertugas sebagai pemandunya namun sekarang menumpu perniagaannya. – HARAKAHDAILY 12/1/2016

(Visited 23 times, 1 visits today)

Add Comment