WARIS MANTAN PENGHULU SERANTA TERIMA PENCEN PENAKAT

PASIR MAS – Waris mantan Penghulu Tanpa Mukim Seranta (PTMS), Mohamad Jaafar dan Siti Esah Daud menerima Pencen Penakat RM385 sebulan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Pasangan tersebut adalah ibu bapa kepada Allahyarham Mohd Zaki Mohamad, 33, yang berkhidmat sebagai PTMS bagi Parlimen Pasir Mas.

Beliau meninggal akibat darah beku dalam saluran darah ke paru-paru (massive pulmonary embolism) pada 30 Disember lalu.

Pegawai Pendakwa PERKESO Zon Timur, Mohd Fauzi Mohamad berkata mulai 1 Januari 2023 PERKESO telah menaikkan kadar Pencen Penakat / Pencen Ilat minimum daripada RM475 kepada RM550 sebulan.

“Dalam kes ini, memandangkan si mati berstatus bujang, maka ibu bapanya layak mendapat 40 peratus daripada RM550 manakala 30 peratus lagi diberikan kepada seorang adik Allahyarham yang berusia di bawah usia 21 tahun. Setelah melebihi usia itu, pencen tersebut terus dibayar kepada ibu bapanya seumur hidup,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambahnya, Pencen Penakat itu dibayar mulai tarikh kematian berdasarkan kelayakan penuh di bawah Skim Keilatan iaitu mempunyai lebih 2 per 3 jumlah bilangan bulan caruman sejak mula mencarum hingga tarikh kematian.

“Faedah Pengurusan Jenazah RM2 ribu turut dibayar,” jelasnya.

Terdahulu Mohd Fauzi menziarahi keluarga Allahyarham Mohd Zaki untuk menyerahkan borang tuntutan pencen tersebut bersama Pengarah Urus setia Majlis Penghulu Negeri Kelantan, Jamaluddin Ishak di Kampung Beta Pohon Buloh pada 2 Januari.

Penyerahan itu disaksikan Exco Kerajaan Negeri yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Meranti YB Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.

Pautan: WARIS MANTAN PENGHULU SERANTA TERIMA PENCEN PENAKAT

(Visited 18 times, 5 visits today)

Add Comment